ummu muslimah

Cukup Bagiku Allah…

Bingkisan untuk Al-Kholiq April 27, 2008

Filed under: laman nurani — ummu muslimah @ 10:11 AM

Tuhan!

Setiap kali Kau memanggil aku, aku cuba dan berusaha untuk datang kepadamuMu sesegera mungkin, kadang-kala aku mengadapMu bersama hati yang tidak takut dan malu kepadaMu. Tapi biasanya hanya fizikal yangku bawa menyembahMu, sedang hati masih sombong kepadaMu.

Sesekali aku bersimpuh di bawah Duli KebesaranMu dengan begitu berhati-hati dan menjaga adab-adab memasuki ‘istanaMu’, fizikalku rukuk, hatiku pun ikut rukuk, fizikalku sujud, hatiku pun ikut sujud. Tapi itu cuma sekali-sekala…

Biasanya, aku hanya sekadar bersenam semata-mata dihadapan KebesaranMu. Katanya, upacara menyembahMu adalah saat paling indah, pertemuan paling bermakna di antara seorang hamba dengan Penciptanya. Majlis yang gemilang bermandikan cahaya dari Syurga. Suatu nikmat kekhusyukan menyembahMu yang sungguh lazat tidak terhingga, hinggakan mabuk dan tenggelam dalam persada percintaan denganMu.

Aduh! Indah sekali khabarnya pengalaman itu, mengatasi segala dan sejuta nikmat nan indah pernah wujud di dunia ini. Begitu sekali rupanya Kau melayani hamba-hambaMu yang hina dina ini.

Tapi Tuhan, siapalah aku untuk mengecapi pengalaman indah dan bermakna tersebut. Ia hanya layak untuk para-para siddiqin dan muqarrobin. Yang hatinya dan cintanya hanya satu. UntukMu semata-mata. Sedangkan aku hanyalah seorang hamba yang dilumuri noda dan dosa, hanya membilang waktu, andai tidak mendapat pengampunan dariMu, Neraka manalah yang bakal menanti kedatanganku.

Cintaku rupanya hanyalah palsu, rinduku hanya kaku. Aku rupanya tidak kenal erti cinta, erti rindu yang sebenar. Kerana butanya hati menyebabkan Engkau belum kukenali sepenuhnya, bila tak kenal, manakan datang cinta, bila tiada cinta, mana mungkin timbulnya rindu. Itulah dia aku, sering terlewat sampai ke persada keagunganMu.

Bila kuteringat kata-kata Saiyyidina Umar. “Jika seluruh penduduk kota Madinah ini masuk Syurga, kecuali seorang, maka aku rasa yang seorang itu adalah aku.” Aduh! Kecut sekali hatiku. Kalaulah seorang khalifah yang telah dijanjikan Syurga pun merasakan tidak layak untuk ke sana, apatah lagi aku yang bergelumang dengan noda dan dosa ini.

Wahai yang mencipta hati dan roh,

Kaulah yang membolak-balikkan hati, peganglah hatiku agar tetap denganMu, agar seluruh yang ada kukorbankan untukMu. Agar sumpah dan ikrar untuk hidup dan mati keranaMu dapat kutunaikan tanpa gagal. Agar aku sentiasa cinta dan takut kepadaMu tanpa jemu dan lalai. Agar aku menjadi pujangga cinta yang hanya tahu memuji dan memujaMu dan bukan yang selain dariMu.

Benamkanlah dilubuk hatiku wahai Tuhan rasa-rasa ini, agar aku puas menjadi hamba yang Kau redhai. RedhaMu rupa-rupanya mengatasi kerinduan pada SyurgaMu dan ketakutan pada NerakaMu. Itulah permohonanku wahai Tuhan yang empunya diriku ini.

Sungguh tidak sedar diriku selama ini, kerana sering memakai pakaianMu, sombong pakaian rasmi yang hanya layak untuMu. Kujadikan pakaianku tanpa izinMu. Sedangkan pantang-larangMu seorang hamba memakai pakaianMu itu. Mana mungkin seorang hamba memakai persalinan tuannya. Di atas keterlanjuran ini, kumohon ampun dan maaf, kupulangkan semula persalinanMu ini kepada yang Empunyanya yang selayaknya.

Biarlah aku melayari bahtera kehidupan ini dalam mencari redhaMu, agar rasa-rasa inilah yang akan menyelamatkanku dan menjadi benteng untukku mentaati perintahMu dan menjauhi laranganMu. Mudah-mudahan masih belum terlewat lagi untukku…

Aminn… Ya Rabbal’alamin…

 

2 Responses to “Bingkisan untuk Al-Kholiq”

  1. azizan anwar Says:

    sungguh jernih doa ini.amin, ya Allah

  2. aishah Says:

    amin ya robbal alamin…moga kita mjd insan yg lbih bertakwa pd Yang Maha Esa..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s